Saturday, July 23, 2011

Mencintai dan Dicintai...

Mencintai dan dicintai....
Bunyinya hampir sama tapi punya maksud yang berbeza....


Mencintai itu adalah bila kita dengan tulus ikhlas mencintai seseorang dengan penuh rasa kasih sayang dan hanya dia sahaja yang bertakhta di hati dan dapat memberikan segala kebahagiaan....

Dicintai pula bila kita secara diam-diam atau terus telah dicintai oleh seseorang yang selama ini telah menaruh harapan dan menyimpan perasaan terhadap kita tapi tidak berani untuk meluahkannya....

Bila kita mula mencintai seseorang tak kira sama ada kita suka akan rupa parasnya yang cantik dan indah atau selainnya, kita harus tahu bahawa cinta juga tak mungkin pernah kita miliki kerana ada kalanya perasaan kita hanya bertepuk sebelah tangan sahaja kerana si dia sukar menerima kehadiran kita dalam hidupnya...

Lain pula situasinya bila kita dicintai oleh seseorang kerana kadang-kala adalah lebih baik bila kita dicintai daripada mencintai seseorang, perhubungan kita mungkin akan kekal lama kerana si dia telahpun mengurniakan cinta kepada kita dengan sepenuh hatinya dan kita haruslah membalas cinta itu dan menerima si dia dengan seadanya....

Mencintai seseorang bukanlah mudah kerana ia melibatkan dua hati, bila masing-masing dapat menerima erti cinta yang sebenar maka barulah kita akan dapat menikmati keindahan cinta itu sendiri tetapi haruslah kita berwaspada agar tidak terlalu taksub dengan cinta sehingga menyerahkan segala-galanya...

Dicintai seseorang mungkin pada pandangan kita terlalu sukar untuk menerima tetapi percayalah bahawa mungkin si dia adalah jodoh yang terbaik untuk kita, setelah lama kita berusaha untuk mendapatkan cinta maka tidak salah sekiranya menerima kehadiran cinta daripada seseorang yang kita kenali ataupun tidak...

Mencintai dan dicintai seseorang haruslah mengerti bahawa jika kita benar-benar dapat memahami perasaan hati dan dapat memberikan cinta sepenuh hati, maka kita tidak perlu risau kerana cinta itu adalah milik kita dan pastinya pasangan kita akan turut berasa bahagia bila kita sentiasa di sampingnya....

Perasaan cinta yang suci akan hadir bila kita pandai memilih masa yang sesuai untuk bertemu si dia dan kita dapat memberikan hadiah setiap kali kita bertemunya lantas membuatkan dirinya merasa begitu dihargai, akan tetapi haruslah diingat bahwa cinta sejati itu hanya akan datang bila kita betul-betul ikhlas mencintai si dia lantas menjadikan dia zaujah yang istimewa di dalam hati dan menjadikannya kekasih halal dalam hidup kita....

Setiap perhubungan mestilah berakhir dengan kebahagiaan dan ia akan datang bila kita berjaya mendirikan rumahtangga yang bahagia dan mendapat cahaya mata yang sempurna, cinta begitu indah bila sama-sama berkongsi hidup, bertoleransi dan saling memahami antara satu sama lain barulah nanti kebahagiaan akan menjadi milik kita sehingga ke ahir hayat....

Wednesday, June 1, 2011

Seandainya Masih Ada Cinta

Bila berbicara tentang cinta semua akan teruja dan terasa bahagia seandainya dapat mencintai dan dicintai oleh seseorang. Tetapi benarkah cinta itu boleh membawa bahagia atau ia sekadar ungkapan manis di bibir sahaja. Seandainya cinta itu ada di dalam diri setiap insan maka indahnya nikmat yang dapat dirasai bila seseorang mula jatuh cinta. Namun bukan mudah bagi kita menilai apakah sebenarnya cinta itu wujud dalam diri kerana kita tidak tahu bila masanya ia akan hadir dalam hidup kita. Sekiranya kita hanya berpura-pura mencintai seseorang maka sebenarnya kita telah menipu diri kita sendiri kerana sememangnya ia adalan permainan perasaan kita sendiri. Akan tetapi cinta itu begitu indah jika kita benar-benar dapat merasa akan kewujudannya.

Sesungguhnya cinta itu lahir daripada hati kita yang tulus mencintai dan dengan itu kita juga bisa dicintai secara tulus oleh pasangan kita. Segalanya bermula dengan keinginan kita akan apa yang kita kerjakan. Dapatkah kita memegang segala janji yang telah diungkapkan atau ianya hanya sekadar omongan kosong yang tidak bermakna. Seandainya kita mengerti akan betapa pentingnya kebahagiaan dalam hidup kita maka dengan mudah kita akan dapat melakukan apa yang terbaik untuk membuat seseorang itu berasa bahagia. Kadang-kadang sukar untuk kita bezakan apakah cinta yang lahir itu hanya sekadar menguji kemampuan kita apakah kita dapat memberikannya dan menjaga hati seseorang yang kita cintai itu.

Perbezaan pendapat dan pertelingkahan seringkali menjadi punca kepada perpisahan sebuah cinta yang disemai sekian lama akhirnya musnah begitu sahaja. Dapatkah kita mempertahankan cinta yang telah dibina dari dua hati yang telah bersatu dan berjanji untuk hidup bersama selamanya. Kita mungkin menyalahkan takdir atas apa yang berlaku dimana kita tidak merasa bahagia sebaliknya derita yang kita temui. Janganlah kita sesali apa yang telah terjadi kerana semua kejadian itu ada hikmah di sebaliknya. Usah mempertikaikan apa yang telah terjadi sebaliknya kita redha dengan ketentuanNya kerna kita hanya mampu merancang sebaliknya hanya Dia yang menentukan segalanya.

Seandainya masih ada cinta dalam diri kita maka carilah yang terbaik untuk kita kerana apa sahaja keputusan kita akan membawa segala perubahan pada diri kita kelak. Jangan cepat melatah dan jangan mudah menyerah kerana apa yang terbaik untuk kita adalah mencari di mana kelemahan kita agar dapat diperbaiki supaya kita tidak tersilap langkah lagi dalam mencari erti cinta yang sebenar. Andai sudah ditakdirkan suatu hari nanti kita akan menemui jodoh kita maka berdoalah agar kita diberi kesempatan dan peluang untuk mencari cinta hati kita yang sebenarnya. Kebahagiaan dalam percintaan akan dapat diperolehi juga kerana kita sendiri yang akan mencorakkannya. Ia semua terpulang kepada kita samada cinta yang dicari itu hanya membawa derita atau ia bakal membawa sinar bahagia dalam hidup kita.

Saturday, October 23, 2010

Tercipta Untukku.... (Part 2) end

Memang benar dirimu sangat ku cintai dari awal pertemuanku sehingga kini ku masih rasakan perasaan ku padamu tidak pernah padam. Seandainya kau mengerti akan isi hatiku, maka harus kau hargai kerna cintaku padamu tetap utuh walau ditelan waktu. 


Namun harus ku sedari cinta tak semestinya harus memiliki. Walau seteguh mana cintaku padamu, namun hati dan perasaanmu tiada siapa boleh memaksanya. Ku sedar diriku tidak layak untuk menjadi pengganti dirinya, namun ku terus tabahkan hati mengejar dirimu dengan harapan kau akan membalas cintaku.


Tidak semua yang kita impikan akan menjadi realiti. Ini memang tepat dengan situasi ku kini. Aku dilamun cinta dan terus dihanyut rindu olehmu. Tapi apakan daya dikau tidak pernah memahami akan perasaan hatiku. Diriku terkapai-kapai dibawa arus dalam mencari makna cintamu. Aku keliru terdiam membisu bagaikan tidak mengenal dunia yang ku jejaki. Ku terlalu ingin mendekati dirimu walau hanya dalam mimpiku. Aku mungkin tiada apa-apa untuk diberikan kepadamu, namun cinta di dalam hatiku sudah cukup untuk membuktikan bahawa aku benar-benar ingin memilikimu.

Jodoh pertemuan ajal dan maut di tangan Tuhan, namun kita bisa merancang segala takdir di masa hadapan. Walau ku tahu ku tak bisa memilikimu namun akan ku terus berdiri melangkah mengharungi onak duri yang penuh berliku. Begitu perit ku rasakan andai cinta tidak pernah ada pengertian. Aku terus kaku melihatmu di situ bagaikan terhalang oleh sesuatu untuk menghampirimu. Jiwaku bergelora dan terus sengsara bila melihat dikau pergi bersama angin lalu.

Aku mengerti dirimu bukanlah tercipta untukku, dan aku sedari bahawa aku tidak layak memiliki cinta dan hatimu. Aku akan pergi meninggalkan segala yang pernah kita lalui bersama. Hadirnya dirimu begitu bererti buatku, tawa dan sendu mu seringkali menjadi peneman kesepianku. Sesunguhnya aku terlalu mencintaimu, namun aku mengerti dirimu tak mungkin ku miliki. Pergilah dirimu walau kemana sahaja, kerna diriku tidak akan mengejar bayangmu lagi...

Wednesday, October 20, 2010

Tercipta Untukku.... (Part 1)

Aku mengenalinya secara tidak disangka-sangka, pertemuan ku bermula setelah ku berkenalan dengan seorang gadis yang baik dan elok rupanya. Waktu itu akan segar dalam ingatanku kerna aku memang berharap agar dipertemukan dengan seorang gadis. Perkenalan kami begitu singkat kerana masa berlalu pergi begitu sahaja. Namun aku berusaha untuk mendapatkannya supaya aku boleh bertemu dengannya lagi. Dari sudut hati ku, aku tahu dia adalah seorang gadis yang aku cari selama ini.


Hari berganti hari, perasaan ku terhadapnya semakin bertambah. Ingin sekali aku meluahkan perasaan ku ini. namun aku cuba sembunyikan buat sementara waktu. Pertemuan kedua tak mungkin ku lupa kerna di saat itu aku cukup gembira kerana dia sudi menerima pelawaanku untuk makan tengah hari bersama-sama. Aku cukup terhibur melihat tawa dan senyumannya membuatkanku terpesona dengan keayuan wajahnya.

Bulan berganti bulan, aku terlalu merinduinya kerana sudah lama tidak berjumpa. Ingin ku ucapkan rindu kepadanya namun tidak terdaya untukku mengatakannya. Aku terus menunggu agar dapat bertemu dengan insan yang aku rindui. Terasa begitu lama tidak bersua walau baru sehari aku tidak berjumpa dengannya. Kaki ku berat untuk melangkah untuk mendekati dirinya kerna aku tidak tahu apakah dia juga merindui diriku.

Tibalah saat hari yang dinanti, aku dapat menatap matanya lagi. Kegembiraan jelas terpancar di wajahku, namun cuba ku selindungkannya agar dia tidak dapat memahaminya. Suaranya ku dengar bagai tiada lagi yang mampu memecah kesunyian itu. Aku terdiam dan terpaku ketika melihat keindahan rupa yang ada pada dirinya. Begitu sempurna ciptaan dan kurniaan Allah kepada hambanya. Seandainya aku dapat memiliknya, akan ku hiasi hidupnya dengan cahaya bergemerlapan agar dirinya tidak dihimpit dengan kegelapan dan kesunyian.

Jiwaku memberontak, hatiku berkecamuk samada ingin memberitahu akan isi hatiku padanya atau memendamnya sahaja. Akhirnya aku membuat keputusan untuk meluahkan perasaanku terhadapnya. Namun, tidak semua yang kita impikan akan dapat dimiliki. Dia menyuruh aku agar berkawan dahulu dengannya kerana dia tidak dapat melupakan kekasih hatinya yang dahulu. Aku mengerti akan perasaannya, aku faham diri ini tidak layak untuk menjadi pengganti di hatinya. Namun aku tidak akan pernah berputus asa untuk memiliki cintanya.

Walaupun sudah dua kali ku ucapkan bahawa ku suka padanya, namun jawapannya masih juga sama. Aku tidak akan pernah memaksa dirinya untuk menerimaku. Aku tetap tabah dan menunggunya kerana aku benar-benar ingin memilikinya. Perasaan sebegini tidak selalunya datang dalam diriku, kerana inilah pertama kali aku rasakan aku sudah jatuh cinta. Dia terlalu istimewa buatku, apa sahaja kemahuannya akan aku turuti. Aku takut akan kehilangannya, aku terlalu menyayanginya walaupun aku tak dapat memilikinya.

Aku menunggu hari yang sesuai untuk melafazkan kalimah cinta terhadapnya, dan hari itu adalah pada hari lahirnya. Aku memberikan ia hadiah iaitu sesuatu yang dia suka "novel cinta". Namun dia masih tidak mengerti bahawa aku benar-benar mencintainya. Aku juga tidak mengerti apakah dia memahami akan perasaanku terhadapnya ataupun tidak. Aku bermain dengan perasaanku sendiri dan hanyut dibuai mimpi yang tak pasti. Seandainya dirinya tercipta untukku maka akan aku tunggu kerana aku yakin dia adalah jodohku...

Friday, September 24, 2010

Cinta Sampai Syurga!!

Percintaan adalah satu ungkapan yang paling sesuai diterjemahkan bagi setiap pasangan yang menjalinkan sesuatu perhubungan yang cukup istimewa. Cinta itu datang daripada hati yang tulus ikhlas lagi suci bagi setiap insan yang berhak merasai kenikmatannya. Cinta takkan hadir sekiranya hanya sebelah pihak sahaja yang merasai kewujudannya yang dinamakan cinta bertepuk sebelah tangan sahaja. Persoalannya perlukah kita melafazkan cinta kepada seseorang yang kita cintai atau sekadar memendam rasa sahaja...

Lafazkan cinta sebelum terlambat menjadi milik kita, haruskah kita berlaku jujur pada diri sendiri dan meluahkan perasaan cinta kepadanya agar dia tahu betapa kita mencintainya. Mungkin tak semua yang kita impikan selama ini akan menjadi milik kita. Seharusnya kita bersyukur dengan apa yang ada dan tidak terburu-buru membuat keputusan sehingga tidak mempedulikan akan perasaan org lain. Cuba kita fahami kehendak dan kemahuan diri yang sebenarnya sebelum kita mengorak langkah mencuba memahami akan diri orang yang kita cintai...

Perjalanan cinta seakan-akan masih jauh lagi sekiranya kita masih berpegang kepada takdir sehingga tidak berusaha untuk mengubah nasib kita. Di mana silapnya, apa yang kita patut lakukan agar cinta yang disemai akan berputik dan mekar di penghujung jalan kita nanti. Memang kita tidak dapat melawan takdir dan kehendak-Nya, akan tetapi untuk kita terus berusaha menggapai apa yang kita impikan tidak salah untuk kita buktikan hanya yang benar-benar layak akan mendapat cinta sejati itu. perjuangan kita dalam mendapatkan cinta masih belum terlambat...

Seperti yang kita sedia maklum bahawa jodoh terbahagi kepada tiga. Pertama jodoh daripada Syaitan, yang mana membuatkan kita yang saling mencintai terjerumus ke lembah maksiat lalu menghasilkan zuriat luar nikah dan kita segera berkahwin bagi menutup keaiban kita. Kedua adalah jodoh daripada Jin, yang mana cinta kita tidak berbalas akhirnya kita meminta perantaraan jin atau ubat pengasih bagi mendapatkan orang yang kita ingin miliki dengan cara yang salah lalu berkahwin dengannya. Manakala yang terakhir adalah jodoh daripada Allah iaitu kita bertemu dan saling jatuh cinta antara satu sama lain lalu kita berkahwin melalui pernikahan yang sah di sisi agama dan akhirnya mendapat cahayamata yang sempurna. Itulah yang berhak kita semua cari kerana cinta itu akan berkekalan hingga ke syurga...

Friday, July 2, 2010

Nukilan Sang Pencinta!!

Setiap kali ku melangkah mencari kebenaran cinta yang entah datang tanpa disedari tetapi pergi dengan sekilas pandangan sahaja.

Tanpa mengharap pada satu kepastian yang mungkin akan memberikan sebuah kenikmatan dalam mengecapi kebahagiaan.

Mungkin mentari tak akan bersinar lagi ketika hati yang suram mula diselubungi oleh kabus yang menebal di dalam diri.

Rintihan emosi tak lagi terhenti ketika menanti akan satu kenyataan yang bertambah perit untuk ditelan mahupun disimpan.

Kenangan yang menjelma di segenap ruang tidak mampu menghalang kepedihan hati yang penuh dengan seribu satu persoalan.

Jiwa yang kudus seakan-akan terhapus oleh dimensi masa yang utuh ketika mencari di mana letaknya cinta yang suci.

Bagaikan menentang arus dan mengejar pelangi yang tersembunyi di sebalik mentari menguatkan hasrat kembali berpadu.

Menanti resah dalam pasrah akan sebuah fenomena cinta yang tak pernah terlintas mahupun mengimpikan sesuatu yang terlalu indah.

Sentuhan menggamit naluri membangkit perasaan di hati mengiakan firasat akan setiap kejadian yang telah terjadi.

Lantaran mengharap akan sesuatu yang di luar kebiasaan mungkin tersemat sesuatu keabadian cinta yang semakin pudar.

Bekalan hidup di dunia menjadi punca mengapa insan menanti sesuatu yang tak pernah difikirkan sebelum bertindak.

Walaupun usia semakin menghambat namun kekentalan peribadi seakan membiarkan nafsu amarah kembali meratapi.

Kekerdilan diri semakin teruji sekalipun cinta tak lagi berpegang pada janji yang kian terhapus ditelan masa.

Keindahan budi menjadi pengganti diri kerana paras rupa takkan bertahan atau kekal kerana bakal dimamah usia.

Kelahiran insani memuji kebesaran Illahi betapa agungnya cinta sejati yang bakal ditempuhi dalam menguji keimanan diri.

Ganjaran diberi taktala jasad sudah tidak lagi bersebati dengan nurani lantas terpadamlah segala mimpi dan ilusi.

Mengejar sesuatu yang pasti bukanlah terletak pada kemahuan tetapi di sebaliknya tercipta sebuah keazaman kembali pulang ke jalan yang terang.

Cinta yang agung hanya kepada Illahi kerana daripadaNya kita dilahirkan dan kepadaNya kita dikembalikan.

Hanya ketaqwaan dan keimanan di hati menjadi bekalan setiap insani dalam mengharungi alam selepas duniawi.

Kejarlah kenikmatan dunia selagi terdaya dan seimbangkanlah antara cinta kepada dunia begitu juga sebaliknya.

Selagi hayat masih lagi bernyawa selagi itulah kita mampu untuk menilaikan apa yang terbaik buat kita di masa kelak.

Cinta itu adalah anugerah daripada Illahi dan setiap insan berhak memilikinya kerana segalannya telah ditakdirkan.

Thursday, July 1, 2010

Wajibkah Menyimpan Janggut bagi Lelaki?

Ada Ulama yang berpendapat bahawa hukum menyimpan janggut adalah sunat dan ada yang mengatakan, ia adalah wajib.

Tetapi, pendapat yang paling jelas ialah wajib. Ini kerana, terdapat dalil sahih daripada Rasulullah s.a.w. Antaranya,


Daripada Ibn Umar r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Bezakanlah (jangan menyamai) perbuatan orang-orang musyrik, lepaskan (simpan) janggut kamu dan nipiskan misai kamu.”- Hadis riwayat Muslim dan al-Bukhari.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya orang-orang yang menyekutukan ALLAH membiarkan misai mereka dan mencukur janggut mereka, maka lakukanlah perbezaan daripada mereka dengan memanjangkan janggut dan menipiskan misai.” - Hadis riwayat al-Bazzar dengan sanad yang sahih.

Jadi, anda dinasihatkan supaya mengikut apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Hukum menyimpan janggut adalah wajib bagi lelaki. Tetapi, terdapat ulama yang menyatakan sunat. Dengan alasan, ia hanya perbuatan Rasulullah s.a.w.


Hujah ini tidak jelas kerana terdapat dalil yang banyak daripada hadis Rasulullah s.a.w yang menyamakan seseorang Muslim yang tidak menyimpan janggut dengan suatu kaum yang lain.


Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak menyimpan janggut. Oleh itu, anda tidak boleh menyerupai mereka. Ini salah satu daripada tatacara kehidupan mereka.


Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia adalah daripada kalangan mereka.”- Hadis riwayat Ahmad.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Bukanlah daripada umatku seseorang yang lain daripada kami. Oleh itu, janganlah kamu mengikut Yahudi dan Nasrani.”- Hadis riwayat al-Tirmizi.

Ibn Taimiyyah berkata:

“Haram jika memotong janggut (mencukur janggut). Terdapat dalil daripada al-Quran, Sunnah dan ijmak mengenai larangan meniru gaya orang-orang kafir. Meniru gaya hidup dan akhlak mereka adalah satu perkara yang keji dan termasuk dalam akidah seseorang itu. ”

Imam Ibn Abdul Bar dalam Kitab al-Tamhid:

“Haram mencukur janggut. Jangan lakukannya kecuali Khunsa (yang mempunyai dua kemaluan) daripada lelaki.”

Seseorang yang mencukur janggut seolah-olah meniru gaya perempuan. Inilah yang membezakan antara lelaki dan perempuan. Menyimpan janggut adalah syiar Islam. Ia adalah akhlak para nabi dan orang-orang yang soleh.


Ia adalah salah satu kemuliaan dan penghargaan kepada lelaki.
Rasulullah s.a.w amat mengalakkan seseorang Muslim menyimpan janggut. Rasulullah s.a.w tidak perintahkan umatnya melakukan sesuatu kecuali ada hikmahnya dan kena pada tempatnya. Hanya ALLAH dan Rasulullah s.a.w sahaja yang tahu segala-galanya.

Sebagai seorang Muslim, kita tidak digalakkan menyoal atau menafikan sesuatu yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Ingatlah, setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w adalah perintah dari ALLAH. Perintah ini bersifat Tauqifi, iaitu sesuatu yang perlu diterima tanpa mempersoalkannya.


Cuba anda teliti kisah-kisah Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Terlalu mudah untuk kita praktikan dalam hidup. Tidak ada yang menyusahkan diri jika kita terima sesuatu yang disampaikan itu menetapi apa yang ALLAH dan Rasulullah s.a.w tetapkan.


Oleh itu, bertakwalah mengikut kemampuan anda. Menyimpan janggut adalah sunnah Rasulullah s.a.w yang membawa kepada hukum yang wajib. Ikutilah sunnah baginda, anda akan bahagia di dunia dan akhirat.