Saturday, October 23, 2010

Tercipta Untukku.... (Part 2) end

Memang benar dirimu sangat ku cintai dari awal pertemuanku sehingga kini ku masih rasakan perasaan ku padamu tidak pernah padam. Seandainya kau mengerti akan isi hatiku, maka harus kau hargai kerna cintaku padamu tetap utuh walau ditelan waktu. 


Namun harus ku sedari cinta tak semestinya harus memiliki. Walau seteguh mana cintaku padamu, namun hati dan perasaanmu tiada siapa boleh memaksanya. Ku sedar diriku tidak layak untuk menjadi pengganti dirinya, namun ku terus tabahkan hati mengejar dirimu dengan harapan kau akan membalas cintaku.


Tidak semua yang kita impikan akan menjadi realiti. Ini memang tepat dengan situasi ku kini. Aku dilamun cinta dan terus dihanyut rindu olehmu. Tapi apakan daya dikau tidak pernah memahami akan perasaan hatiku. Diriku terkapai-kapai dibawa arus dalam mencari makna cintamu. Aku keliru terdiam membisu bagaikan tidak mengenal dunia yang ku jejaki. Ku terlalu ingin mendekati dirimu walau hanya dalam mimpiku. Aku mungkin tiada apa-apa untuk diberikan kepadamu, namun cinta di dalam hatiku sudah cukup untuk membuktikan bahawa aku benar-benar ingin memilikimu.

Jodoh pertemuan ajal dan maut di tangan Tuhan, namun kita bisa merancang segala takdir di masa hadapan. Walau ku tahu ku tak bisa memilikimu namun akan ku terus berdiri melangkah mengharungi onak duri yang penuh berliku. Begitu perit ku rasakan andai cinta tidak pernah ada pengertian. Aku terus kaku melihatmu di situ bagaikan terhalang oleh sesuatu untuk menghampirimu. Jiwaku bergelora dan terus sengsara bila melihat dikau pergi bersama angin lalu.

Aku mengerti dirimu bukanlah tercipta untukku, dan aku sedari bahawa aku tidak layak memiliki cinta dan hatimu. Aku akan pergi meninggalkan segala yang pernah kita lalui bersama. Hadirnya dirimu begitu bererti buatku, tawa dan sendu mu seringkali menjadi peneman kesepianku. Sesunguhnya aku terlalu mencintaimu, namun aku mengerti dirimu tak mungkin ku miliki. Pergilah dirimu walau kemana sahaja, kerna diriku tidak akan mengejar bayangmu lagi...

Wednesday, October 20, 2010

Tercipta Untukku.... (Part 1)

Aku mengenalinya secara tidak disangka-sangka, pertemuan ku bermula setelah ku berkenalan dengan seorang gadis yang baik dan elok rupanya. Waktu itu akan segar dalam ingatanku kerna aku memang berharap agar dipertemukan dengan seorang gadis. Perkenalan kami begitu singkat kerana masa berlalu pergi begitu sahaja. Namun aku berusaha untuk mendapatkannya supaya aku boleh bertemu dengannya lagi. Dari sudut hati ku, aku tahu dia adalah seorang gadis yang aku cari selama ini.


Hari berganti hari, perasaan ku terhadapnya semakin bertambah. Ingin sekali aku meluahkan perasaan ku ini. namun aku cuba sembunyikan buat sementara waktu. Pertemuan kedua tak mungkin ku lupa kerna di saat itu aku cukup gembira kerana dia sudi menerima pelawaanku untuk makan tengah hari bersama-sama. Aku cukup terhibur melihat tawa dan senyumannya membuatkanku terpesona dengan keayuan wajahnya.

Bulan berganti bulan, aku terlalu merinduinya kerana sudah lama tidak berjumpa. Ingin ku ucapkan rindu kepadanya namun tidak terdaya untukku mengatakannya. Aku terus menunggu agar dapat bertemu dengan insan yang aku rindui. Terasa begitu lama tidak bersua walau baru sehari aku tidak berjumpa dengannya. Kaki ku berat untuk melangkah untuk mendekati dirinya kerna aku tidak tahu apakah dia juga merindui diriku.

Tibalah saat hari yang dinanti, aku dapat menatap matanya lagi. Kegembiraan jelas terpancar di wajahku, namun cuba ku selindungkannya agar dia tidak dapat memahaminya. Suaranya ku dengar bagai tiada lagi yang mampu memecah kesunyian itu. Aku terdiam dan terpaku ketika melihat keindahan rupa yang ada pada dirinya. Begitu sempurna ciptaan dan kurniaan Allah kepada hambanya. Seandainya aku dapat memiliknya, akan ku hiasi hidupnya dengan cahaya bergemerlapan agar dirinya tidak dihimpit dengan kegelapan dan kesunyian.

Jiwaku memberontak, hatiku berkecamuk samada ingin memberitahu akan isi hatiku padanya atau memendamnya sahaja. Akhirnya aku membuat keputusan untuk meluahkan perasaanku terhadapnya. Namun, tidak semua yang kita impikan akan dapat dimiliki. Dia menyuruh aku agar berkawan dahulu dengannya kerana dia tidak dapat melupakan kekasih hatinya yang dahulu. Aku mengerti akan perasaannya, aku faham diri ini tidak layak untuk menjadi pengganti di hatinya. Namun aku tidak akan pernah berputus asa untuk memiliki cintanya.

Walaupun sudah dua kali ku ucapkan bahawa ku suka padanya, namun jawapannya masih juga sama. Aku tidak akan pernah memaksa dirinya untuk menerimaku. Aku tetap tabah dan menunggunya kerana aku benar-benar ingin memilikinya. Perasaan sebegini tidak selalunya datang dalam diriku, kerana inilah pertama kali aku rasakan aku sudah jatuh cinta. Dia terlalu istimewa buatku, apa sahaja kemahuannya akan aku turuti. Aku takut akan kehilangannya, aku terlalu menyayanginya walaupun aku tak dapat memilikinya.

Aku menunggu hari yang sesuai untuk melafazkan kalimah cinta terhadapnya, dan hari itu adalah pada hari lahirnya. Aku memberikan ia hadiah iaitu sesuatu yang dia suka "novel cinta". Namun dia masih tidak mengerti bahawa aku benar-benar mencintainya. Aku juga tidak mengerti apakah dia memahami akan perasaanku terhadapnya ataupun tidak. Aku bermain dengan perasaanku sendiri dan hanyut dibuai mimpi yang tak pasti. Seandainya dirinya tercipta untukku maka akan aku tunggu kerana aku yakin dia adalah jodohku...