Wednesday, June 1, 2011

Seandainya Masih Ada Cinta

Bila berbicara tentang cinta semua akan teruja dan terasa bahagia seandainya dapat mencintai dan dicintai oleh seseorang. Tetapi benarkah cinta itu boleh membawa bahagia atau ia sekadar ungkapan manis di bibir sahaja. Seandainya cinta itu ada di dalam diri setiap insan maka indahnya nikmat yang dapat dirasai bila seseorang mula jatuh cinta. Namun bukan mudah bagi kita menilai apakah sebenarnya cinta itu wujud dalam diri kerana kita tidak tahu bila masanya ia akan hadir dalam hidup kita. Sekiranya kita hanya berpura-pura mencintai seseorang maka sebenarnya kita telah menipu diri kita sendiri kerana sememangnya ia adalan permainan perasaan kita sendiri. Akan tetapi cinta itu begitu indah jika kita benar-benar dapat merasa akan kewujudannya.

Sesungguhnya cinta itu lahir daripada hati kita yang tulus mencintai dan dengan itu kita juga bisa dicintai secara tulus oleh pasangan kita. Segalanya bermula dengan keinginan kita akan apa yang kita kerjakan. Dapatkah kita memegang segala janji yang telah diungkapkan atau ianya hanya sekadar omongan kosong yang tidak bermakna. Seandainya kita mengerti akan betapa pentingnya kebahagiaan dalam hidup kita maka dengan mudah kita akan dapat melakukan apa yang terbaik untuk membuat seseorang itu berasa bahagia. Kadang-kadang sukar untuk kita bezakan apakah cinta yang lahir itu hanya sekadar menguji kemampuan kita apakah kita dapat memberikannya dan menjaga hati seseorang yang kita cintai itu.

Perbezaan pendapat dan pertelingkahan seringkali menjadi punca kepada perpisahan sebuah cinta yang disemai sekian lama akhirnya musnah begitu sahaja. Dapatkah kita mempertahankan cinta yang telah dibina dari dua hati yang telah bersatu dan berjanji untuk hidup bersama selamanya. Kita mungkin menyalahkan takdir atas apa yang berlaku dimana kita tidak merasa bahagia sebaliknya derita yang kita temui. Janganlah kita sesali apa yang telah terjadi kerana semua kejadian itu ada hikmah di sebaliknya. Usah mempertikaikan apa yang telah terjadi sebaliknya kita redha dengan ketentuanNya kerna kita hanya mampu merancang sebaliknya hanya Dia yang menentukan segalanya.

Seandainya masih ada cinta dalam diri kita maka carilah yang terbaik untuk kita kerana apa sahaja keputusan kita akan membawa segala perubahan pada diri kita kelak. Jangan cepat melatah dan jangan mudah menyerah kerana apa yang terbaik untuk kita adalah mencari di mana kelemahan kita agar dapat diperbaiki supaya kita tidak tersilap langkah lagi dalam mencari erti cinta yang sebenar. Andai sudah ditakdirkan suatu hari nanti kita akan menemui jodoh kita maka berdoalah agar kita diberi kesempatan dan peluang untuk mencari cinta hati kita yang sebenarnya. Kebahagiaan dalam percintaan akan dapat diperolehi juga kerana kita sendiri yang akan mencorakkannya. Ia semua terpulang kepada kita samada cinta yang dicari itu hanya membawa derita atau ia bakal membawa sinar bahagia dalam hidup kita.

No comments:

Post a Comment